Mayat dikembali dari Gaza bukan Shiri Bibas, kata tentera Israel

SALAH seorang daripada empat mayat yang dikembalikan dari Gaza ke Israel pada hari Khamis bukanlah tebusan Shiri Bibas seperti yang didakwa oleh Hamas, kata tentera Israel.

Berita bahawa Shiri Bibas, 33, dan dua anaknya, Ariel dan Kfir yang kini berusia lima dan dua tahun yang telah meninggal dunia mencetuskan kesedihan yang meluas di Israel.

Memetik laporan BBC News, Tentera Pertahanan Israel (IDF) telah memaklumkan kepada keluarga Bibas bahawa mayat anak-anaknya telah dikenalpasti selepas mayat mereka diserahkan kepada Israel oleh Hamas pada hari Khamis.

Namun, mayat ketiga bukanlah milik ibu mereka, menurut IDF.

Hamas belum lagi mengulas mengenai dakwaan Israel itu.

“Semasa proses pengecaman, didapati bahawa mayat tambahan yang diterima bukanlah milik Shiri Bibas dan tiada padanan ditemui untuk mana-mana tebusan lain. Ini adalah mayat tanpa nama, tidak dikenalpasti.

“Ini adalah pelanggaran yang sangat serius oleh organisasi pengganas Hamas yang diwajibkan di bawah perjanjian untuk mengembalikan empat tebusan yang telah meninggal dunia. Kami menuntut agar Hamas mengembalikan Shiri bersama semua tebusan kami,” ciap IDF di platform X.

Shiri, Ariel dan Kfir Bibas masing-masing berumur 32, empat dan sembilan bulan apabila mereka diculik semasa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Bapa kanak-kanak tersebut, Yarden Bibas, 34, telah dibebaskan oleh Hamas pada 1 Februari.

Israel telah mengesahkan bahawa mayat keempat yang dikembalikan pada hari Khamis ialah aktivis keamanan veteran, Oded Lifshitz.

Pembebasan mayat tebusan adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari. Israel telah mengesahkan akan ada lapan tebusan.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar 33 tebusan untuk kira-kira 1,900 tahanan pada akhir enam minggu pertama gencatan senjata.

Perbincangan mengenai kemajuan ke fasa seterusnya perjanjian,di mana baki tebusan hidup akan dibebaskan dan perang akan berakhir secara kekal yang sepatutnya bermula pada awal bulan ini tetapi belum lagi bermula.

Setakat ini, 28 tebusan dan lebih 1,000 tahanan telah ditukar.

66 tebusan yang diambil pada 7 Oktober masih ditahan di Gaza. Tiga lagi tebusan yang ditahan lebih sedekad lalu juga masih ditahan. Kira-kira separuh daripada semua tebusan yang masih berada di Gaza dipercayai masih hidup.

Kira-kira 1,200 orang dan kebanyakannya orang awam telah terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan 251 yang lain dibawa balik ke Gaza sebagai tebusan.

Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Hamas sebagai tindak balas yang telah membunuh sekurang-kurangnya 48,297 rakyat Palestin terutamanya orang awam menurut kementerian kesihatan yang dikelola oleh Hamas.

Anda Mungkin Berminat