PELABUHAN KLANG: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang kru kapal korek pasir MV DARRUN 88 yang dilaporkan hilang sejak awal pagi Isnin lalu, ditamatkan pada Rabu selepas mayat mangsa ditemui berapung tidak jauh dari lokasi kapal bersauh.
Mangsa, Luo Deliang, 54 tahun, warga China, dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.30 tengah malam sebelum pasukan Maritim Malaysia melancarkan operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi keselamatan.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 8.20 pagi Rabu, hanya 50 meter dari kapal korek pasir tersebut yang bersauh satu batu nautika dari Pantai Acheh, Pulau Indah.
“Mayat mangsa, Luo Deliang berumur 54 tahun warga China tersebut ditemui oleh bot Maritim PERKASA 36 yang ditugaskan untuk operasi CARILAMAT serta bantuan dari Agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut membantu operasi pencarian sejak semalam (Rabu).
“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club sekitar pukul 9.10 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Penemuan tersebut menamatkan operasi yang berlangsung hampir 24 jam, melibatkan koordinasi pelbagai agensi keselamatan laut. Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai keperluan memperketatkan langkah keselamatan dalam aktiviti perkapalan dan kerja-kerja laut.
Abdul Muhaimin turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam aktiviti laut sentiasa mengutamakan keselamatan khususnya pemakaian jaket keselamatan yang boleh menjadi penyelamat nyawa dalam situasi kecemasan.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya menggesa orang awam agar sentiasa peka dan menyalurkan maklumat lengkap sekiranya berlaku kecemasan, kejadian jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera.








