Mayat lelaki dijumpai terapung di pesisir pantai

Oleh: Syahirah Harish

PORT DICKSON: Penduduk di Batu 9, di sini terkejut apabila menemui mayat lelaki terapung di pesisir pantai ketika sedang memancing.

Mayat itu ditemui kira-kira pukul 1.42 tengah hari pada Selasa dalam keadaan lengkap berpakaian baju t-shirt dan berseluar jeans hitam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslam Udin berkata, sebaik menerima laporan daripada orang awam pihaknya bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Pemeriksaan pada mayat menemukan sejumlah wang tunai di dalam poket seluar dan tidak menemui sebarang pengenalan diri atau telefon bimbit.

“Pemeriksaan ke atas tubuh si mati tidak mempunyai sebarang unsur perlakuan jenayah,”katanya.

Mayat berkenaan dipercayai berumur lingkungan 30-an dan mempunyai tanda vaksin (BCG) pada bahagian lengan sebelah kiri.

Selain itu, terdapat tatu bercorak senjata ‘AK47’ di leher sebelah kiri si mati.

Maslam berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau menghubungi mana-mana balai polis untuk proses pengecaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat