Oleh: Kamilia Ali
SHAH ALAM: Satu mayat dijumpai terapung di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, dekat sini pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis Mohd. Iqbal Ibrahim, pihak polis menerima maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira 7.39 pagi daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki identiti tidak diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.
“Lelaki tersebut dijumpai berpakaian lengkap dalam keadaan terlentang dan pemeriksaan ke atas badan lelaki itu mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain yang menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Susulan itu, mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dijalankan post-mortem hari ini pada pukul 11 pagi bagi mengenal pasti punca kematian si mati dalam kes ini.
Justeru, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death, SDR) dan pihak polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512.