PENAMPANG: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan terdampar berhampiran Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas, Putatan pada pagi Sabtu.
Penemuan mayat yang lengkap berpakaian itu dibuat oleh orang awam yang kemudiannya segera menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 pagi.
Menurut beliau, hasil siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
“Mayat lelaki tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam usaha untuk mengesan waris mangsa, Sammy menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa agar tampil memberikan maklumat di balai polis berdekatan.
“Atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afizul Ag Amin, di talian 016-8352006,” katanya.