Mayat Lelaki Hanyut Berhampiran Pintasan Saloma Ditemui Di Sungai Kandis

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, Kampung Baru pada Isnin lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam, pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, penemuan itu dibuat kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu sidang akhbar akan diadakan bagi menjelaskan butiran lanjut mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam segera dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mayat yang tersangkut pada perangkap sampah sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Pihak polis kemudian mengesahkan mayat ialah mangsa yang hanyut di Sungai Klang semasa banjir kilat di Pintasan Saloma, Kampung Baru,” katanya dipetik Sinar Harian.

Mangsa dikenali sebagai K. Suresh, 37 tahun, seorang penyelia tapak pembinaan.

Beliau dilaporkan terperangkap di bawah jambatan sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Dalam insiden yang sama, seramai 11 pekerja pembinaan lain berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.

Anda Mungkin Berminat