Mayat lelaki Pakistan lemas di Port Dickson berjaya ditemui

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Pakistan, Wasif Shehzad, 23, ditemui lemas di perairan Pantai Batu 5, Port Dickson pada petang semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC), Johor Bahru sehingga berjaya menemui mayat mangsa.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz mengesahkan bahawa laporan kejadian diterima sekitar pukul 12.30 tengah hari.

“Adik kepada mangsa, Amir Ahmad, 22, mengesahkan insiden itu dan memberikan maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.

“Sejurus laporan diterima, operasi CARILAMAT segera diaktifkan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seramai 46 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi berada di lokasi bagi menjalankan operasi mencari,” tambah beliau.

Menurut Mohd Khairi, Maritim Malaysia menggerakkan bot PERKASA 37 bersama enam anggota bagi melakukan pencarian di perairan, manakala JBPM mengatur gerak bot aluminium dengan 11 anggota penyelam.

“Pihak penyelam JBPM menemui mangsa kira-kira 100 meter dari pesisir Pantai Batu 5, Port Dickson, sekitar pukul 3.13 petang,” jelasnya.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke pantai menggunakan bot aluminium dan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa pada pukul 3.32 petang.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat