Mayat lelaki rentung dalam kemalangan di Seremban

Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan dua lori treler di Kilometer 255, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara di Seremban, Negeri Sembilan pada 3.20 petang, Rabu.

Menurut Komander Operasi Kanan, PKPgB Jafri Amat berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia lingkuan 30-an yang memandu salah satu treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Kejadian berlaku apabila sebuah lori membawa muatan kontena kosong yang dipandu mangsa terbabas kedalam gaung dan terbakar.

“Mangsa telah tersepit di dalam lori tersebut dan terperangkap ketika lori berkenaan terbakar,” katanya menerusi kenyataan.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau tiba ke lokasi kejadian dan memadam kebakaran seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jafri berkata, mangsa yang rentung disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang berada di lokasi kejadian manakala seorang lagi pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tersebut selamat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Operasi tersebut melibatkan 26 orang anggota bersama jentera FRT, LFRT, water tanker, kenderaan RRV dan motosikal Unit RIM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat