PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicutikan bagi memberi laluan kepada siasatan dibuat sehingga selesai.
Beliau berkata, cadangan pemimpin PAS itu sepatutnya diajukan kepada ahli PAS dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, bukannya kepada parti lawan.
“Sebelum minta Ahmad Zahid dicutikan, tak nak minta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atau Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dicutikan juga kah?
“Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah… Ke dekat orang lain boleh, tetapi geng sendiri tak boleh?
“Satu lagi, kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sultan Pahang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lepas? Sila jawab persoalan ini dulu,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim berpandangan siasatan terhadap Presiden UMNO tersebut perlu dibuat secara menyeluruh mengikut undang-undang dan tiada unsur paksaan.
Beliau menjelaskan persoalan utama ketika ini adalah jaminan hasil selepas siasatan sedangkan 47 kes melibatkan Ahmad Zahid boleh ditarik semula.
Untuk info, Muhammad Sanusi kini berdepan dua tuduhan menghasut dan didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor serta penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Manakala Mohd Shukri pula disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam projek pembangunan di negeri berkenaan.