KUALA KRAI: Kerajaan Negeri Kelantan tampil menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan tindakan segera yang diumumkan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menyifatkan arahan pantas Perdana Menteri untuk menggantikan jambatan tersebut sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri Kelantan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas pengumuman serta arahan segera supaya penggantian titi gantung berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Kenyataan itu hadir sehari selepas insiden yang mengejutkan penduduk Kuala Krai, apabila titi gantung utama di Lata Rek runtuh secara tiba-tiba.
Beberapa individu mengalami kecederaan, dan laluan harian penduduk terganggu.
Menteri Besar turut memaklumkan bahawa wakil rakyat kawasan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Manek Urai dan Ahli Parlimen Kuala Krai telah mengambil langkah segera dengan turun padang dan menggerakkan bantuan awal.
Sebagai susulan kepada arahan Perdana Menteri, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai telah diarahkan untuk menyelaras kerja-kerja pembinaan semula bersama Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan agensi berkaitan.
“Saya mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bagi memastikan kerja-kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur,” katanya.
Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi menjamin kebajikan rakyat dan memastikan kemudahan awam yang selamat dan berfungsi.
“Insya-Allah dengan kerjasama erat semua pihak, penyelesaian dapat dilaksanakan dengan pantas dan segera,” tambah beliau sambil mendoakan kesembuhan semua mangsa.








