MB Perak tinjau mangsa banjir di Manjung, pastikan kebajikan terjaga

MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Manjung, iaitu SK Sungai Batu, Pantai Remis dan SK Beruas.

Dalam lawatan pagi tadi, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa yang kini berlindung di PPS berkenaan dan menyatakan rasa kagum terhadap ketenangan serta ketabahan mereka walaupun sedang diuji dengan bencana.

“Seramai 91 keluarga melibatkan 306 mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Batu, manakala 60 keluarga (137 mangsa) berada di PPS SK Beruas,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kebajikan mangsa di PPS akan terus dijaga, termasuk memastikan bekalan makanan dan minuman mencukupi sepanjang tempoh penempatan.

“Apabila keadaan kembali pulih, kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa akan segera digerakkan supaya mereka dapat pulang ke rumah masing-masing dengan selamat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang menyelaras bantuan susulan agar semua mangsa yang terjejas mendapat perhatian sewajarnya daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi keselamatan, sukarelawan, NGO dan orang awam yang bertungkus-lumus membantu menyelamat serta mengurus kebajikan mangsa banjir.

“Mudah-mudahan semua mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini, insya-Allah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat