MB Selangor Sampai Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Melayu Wira Damai

GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Melayu Wira Damai, susulan insiden yang berlaku pada pagi Ahad lalu.

Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas telah mengakibatkan tiga rumah musnah, melibatkan enam keluarga.

Dilaporkan, seramai 19 mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri sedang berusaha menyediakan penempatan sementara bagi membantu mangsa mendapatkan rumah sewa yang bersesuaian.

“Saya doakan mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini.

“Saya dan Pejabat Parlimen Gombak akan terus berusaha meringankan beban mangsa yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan bantuan keperluan asas dapat disalurkan dengan segera.

Sementara itu, mangsa yang ditemui media memaklumkan bahawa kebakaran berlaku secara tiba-tiba pada awal pagi Ahad sehingga menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan penting.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, mangsa kini bergantung kepada bantuan pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk meneruskan kehidupan.

Anda Mungkin Berminat