MBM puji langkah bijaksana, berhemah PM tangani isu kuil dan masjid

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu pembinaan Masjid Madani dan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur secara harmoni dan inklusif.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, menyifatkan penyelesaian itu sebagai cerminan kepimpinan matang yang mengingatkan rakyat kepada insiden Kampung Rawa, Pulau Pinang pada 1998 yang juga diselesaikan dengan penuh hikmah.

“MBM percaya bahawa Malaysia yang majmuk memerlukan ruang dialog dan persefahaman yang berterusan demi menjaga keharmonian antara kaum dan agama,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, MBM turut mencadangkan kerajaan segera mengguna pakai Piagam Harmoni oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai panduan mengurus kepelbagaian, di samping melaksanakan langkah pencegahan proaktif.

Melalui Jawatankuasa Harmoni, katanya, MBM komited memperkukuh perpaduan belia demi merealisasikan visi Malaysia Madani yang aman dan harmoni.

Anda Mungkin Berminat