MBOR: Khairul Aming Tempa Rekod Jualan RM1 Juta Dalam 19 Saat

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Usahawan dan pempengaruh tersohor, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mencatatkan jualan RM1 juta dalam masa hanya 19 saat, sekali gus menempatkan namanya sekali lagi dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Menurut hantaran di laman Facebook MBOR, pencapaian luar biasa itu direkodkan menerusi pelancaran produk terbaharu beliau, Rendang Nyet Berapi, yang dijual pada harga RM17.99 seunit melalui platform TikTok Shop Livestream.

“Tahniah Khairul Aming, selepas mendapat verifikasi data rasmi dengan TikTok Shop dan The Malaysia Book Of Record, peluncuran rendang nyet hari tu ‘sold out’ (habis terjual) satu juta ringgit dalam masa 19 saat, bukan 30 saat,” katanya.

Kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan jenama peribadi Khairul Aming tetapi juga keupayaan beliau menggabungkan kreativiti dan strategi pemasaran yang berkesan.

Kali ini, beliau menawarkan lima pembeli terpantas yang membeli lima paket produk berpeluang memenangi tajaan percutian penuh ke New Zealand.

Sesi jualan langsung yang berlangsung penuh meriah turut diserikan dengan celoteh santai dan menghiburkan Khairul Aming, menjadikan pengalaman membeli bukan sekadar transaksi tetapi satu acara yang dinanti-nantikan oleh peminat dan pelanggan setia.

Pada tahun lalu, Khairul Aming turut mencatatkan rekod jualan RM1 juta terpantas di TikTok Shop dalam masa tiga minit 28 saat, menjadikan pencapaian tahun ini sebagai satu lonjakan besar dalam sejarah perniagaan digital tempatan.

Dengan pencapaian ini, Khairul Aming terus membuktikan bahawa gabungan personaliti, inovasi dan pemahaman mendalam terhadap pasaran mampu mencipta impak luar biasa dalam dunia keusahawanan moden.

Anda Mungkin Berminat