CYBERJAYA: Dalam usaha memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung di saat genting, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menggerakkan dua inisiatif utama iaitu MCMC PRIME dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi menyokong pemulihan komunikasi di kawasan terjejas.
MCMC PRIME, sebuah kenderaan mudah alih yang dilengkapi sokongan komunikasi kecemasan telah digerakkan ke Kampung Cenderakasih dan Penampang untuk membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pada masa yang sama, sebanyak 131 NADI turut diaktifkan bagi menyediakan capaian internet kepada masyarakat yang terkesan bagi membolehkan mereka terus berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.
“MCMC terus memperkukuh usaha memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui penyediaan kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI),” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Isnin.
Setakat ini, katanya, sebanyak 266 menara telekomunikasi dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.
MCMC berkata, daripada jumlah itu, 147 menara telah kembali beroperasi, hasil kerja pemulihan berperingkat yang giat dijalankan bersama syarikat telekomunikasi.
Bagi mempercepatkan proses pemulihan, MCMC telah menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB untuk memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan.
Mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan ‘collector sites’ tapak utama yang mengawal liputan komunikasi serta tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting.
Langkah itu turut melibatkan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset, agar proses pemulihan komunikasi dapat dipercepatkan.
MCMC menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi, serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” kata kenyataan itu lagi.








