MCMC, Johor Meterai MoU Perkukuh Infrastruktur Digital

JOHOR BAHRU: Usaha memperkukuh infrastruktur digital di negeri Johor terus diperkasa menerusi pemeteraian kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini.

Menurut MCMC, kerjasama itu bertujuan untuk memperkukuh rangkaian infrastruktur digital, memperluaskan liputan internet berkelajuan tinggi termasuk rangkaian 5G, serta meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital di negeri tersebut.

“Antara fokus utama inisiatif ini merangkumi pembangunan infrastruktur digital baharu, peluasan liputan 5G di kawasan strategik, peningkatan kapasiti rakyat dalam bidang teknologi serta pelaksanaan program keselamatan siber di seluruh negeri.

“Pelaksanaan inisiatif ini dijangka memerlukan peruntukan sekitar RM300 juta dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan segala objektif kerjasama ini dapat direalisasikan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Majlis Bandaraya Johor Bahru itu disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Tambah MCMC, kerjasama strategik itu juga akan melibatkan peningkatan liputan dan kemudahan komunikasi mudah alih bagi menyokong penggunaan aplikasi teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) oleh agensi kerajaan, pihak swasta serta orang awam di seluruh negeri.

“Johor, yang kini diiktiraf sebagai lokasi pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara, dijangka mencapai kapasiti 2.7 GW menjelang 2027.

“Kerjasama ini juga memastikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilengkapi infrastruktur digital menyeluruh untuk merangsang pelaburan dan perdagangan rentas sempadan,” kata MCMC.

Melalui MoU itu, MCMC komited mendokong Johor ke arah transformasi teknologi dan ekonomi progresif serta menjadi contoh kerjasama erat kerajaan negeri dan persekutuan dalam membangunkan ekosistem negara berteknologi tinggi.

Selain itu, MCMC berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi untuk memasang akses WiFi awam di bawah inisiatif Bandar Selamat Johor yang bertujuan menyediakan akses internet yang selamat kepada penduduk tempatan dan pelancong.

Anda Mungkin Berminat