MCMC Keluar 279 Arahan Kepada Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan 279 arahan kepada penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara bagi menangani isu ketidakpatuhan terhadap standard kualiti internet.

Menurut kenyataan media MCMC, hari ini, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan Penentuan Suruhanjaya No.2 Tahun 2023 yang bertujuan memperbaiki prestasi perkhidmatan akses jalur tanpa wayar menerusi pemantauan terhadap Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

“Arahan didaftarkan susulan pemantauan berterusan oleh MCMC yang mendapati terdapat penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian minimum ditetapkan.

“Ketidakpatuhan dikesan di pelbagai lokasi termasuk kawasan bandar dan luar bandar yang memberikan kesan langsung terhadap kualiti pengalaman pengguna,” kata kenyataan itu.

MCMC berkata, daripada jumlah keseluruhan, 154 arahan diberikan kepada YTL Communications, CelcomDigi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10).

Menurut MCMC, MSQoS menilai kualiti melalui beberapa indikator utama termasuk kelajuan muat turun, kependaman rangkaian, kehilangan paket, ketersediaan perkhidmatan dan masa capaian laman web serta penstriman video.

“Penyedia yang gagal membuat penambahbaikan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 105(5) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta A1743),” kata kenyataan itu lagi.

MCMC turut mendedahkan rekod arahan yang telah dikeluarkan pada tahun 2022 adalah sebanyak 229, 2023 (208), 2024 (tiada arahan) dan 2025 (547).

Jumlah keseluruhan sejak 2022 adalah sebanyak 984 arahan.

Anda Mungkin Berminat