MCMC Keluar Notis Tuntutan Kepada TikTok Terkait Kandungan Hina Institusi Diraja

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis tuntutan statutori kepada platform TikTok selepas didapati gagal bertindak segera terhadap penyebaran kandungan berunsur fitnah, penghinaan serta akaun palsu yang menyasarkan institusi diraja.

Menurut MCMC, tindakan itu diambil susulan penularan kandungan daripada akaun yang didakwa menggunakan identiti palsu berkaitan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Kandungan terbabit termasuk bahan palsu, berunsur ancaman, menghina serta menyinggung perasaan, selain melibatkan video dijana kecerdasan buatan (AI) dan imej yang telah dimanipulasi.

“Bahan berkenaan berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain di Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

MCMC berkata, meskipun beberapa notifikasi dan libat urus telah dibuat sebelum ini, respons moderasi TikTok masih tidak memuaskan khususnya dalam aspek penurunan pantas kandungan serta pencegahan penyebaran semula bahan berbahaya.

Sehubungan itu, notis tuntutan berkenaan mengkehendaki TikTok melaksanakan tindakan pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme moderasi kandungan, mempertingkat penguatkuasaan terhadap pelanggaran undang-undang Malaysia serta memberi penjelasan rasmi mengenai kegagalan tindakan mereka.

MCMC berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berkaitan 3R (kaum, agama dan raja) yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian negara.

“Platform media sosial perlu bertindak pantas dan bertanggungjawab dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang serta mengancam ketenteraman awam,” katanya.

MCMC turut menekankan bahawa pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas dan berkadar perlu bagi memastikan penyedia platform digital mematuhi tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat dan harmoni.

Anda Mungkin Berminat