CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama yang memaparkan insiden melibatkan seorang warga Singapura yang memijak al-Quran.
Video berkenaan, yang dipercayai bertarikh 2024, tular semula di platform media sosial termasuk Facebook, TikTok dan Threads, sehingga mencetuskan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan siasatan awal, insiden itu dipercayai berlaku di Singapura dan individu yang terlibat adalah warganegara negara berkenaan.
MCMC berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan platform media sosial terlibat bagi memastikan langkah sewajarnya diambil termasuk menyekat penyebaran kandungan berkenaan di Malaysia.
“Penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya pada Isnin.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi mengelakkan ketegangan serta tindakan undang-undang.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.








