KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan segera hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh keselamatan data negara menerusi pelaksanaan dasar Sovereign AI Cloud atau pengkomputeran awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pelaksanaan dasar itu akan dipandu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Digital dan Jabatan Digital bagi memastikan kawalan serta pengurusan data strategik negara lebih terjamin.
“Ia mengambil kira perubahan dasar di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, selain menjamin ekosistem keselamatan data yang lebih kukuh termasuk maklumat terperingkat berdasarkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya, memetik berita tempatan selepas menghadiri Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan, sempena International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 di sini hari ini.
Fahmi berkata, Sovereign AI Cloud akan menjadi tonggak utama dalam melindungi data kerajaan dan maklumat sensitif daripada ancaman siber, sekali gus memastikan tadbir urus digital negara kekal berdaulat.
Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Jumaat lalu mengumumkan bahawa MCMC akan membina infrastruktur Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
Sementara itu, mengulas permintaan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya MCMC menurunkan video berkaitan kes rogol pelajar yang tular baru-baru ini, Fahmi berkata MCMC akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam perkongsian kandungan digital, khususnya yang melibatkan pelanggaran undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.
“Kita perlu sentiasa berhati-hati. Jika kandungan itu melanggar undang-undang, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkannya,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah menurunkan video tersebut diambil bagi menghentikan penyebaran rakaman yang boleh mengaibkan pelajar terbabit.
Baca juga: