MCMC Lancar Kohort Ketiga ‘Accelerated Leadership Programme’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan kohort ketiga ‘Accelerated Leadership Programme Series’ (ALPs) sebagai usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan berorientasikan masa hadapan dalam organisasi itu.

Dalam kenyataan pada Rabu, MCMC memaklumkan seramai 40 pegawai Berpotensi Tinggi (HiPo) dipilih secara teliti melalui kerangka pembangunan kepimpinan dan bakat suruhanjaya.

“Accelerated Leadership Programme ini merupakan komitmen strategik MCMC untuk memastikan kesinambungan dan kelestarian barisan kepimpinan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi,” menurut kenyataan itu.

Program itu, yang menjadi komponen utama kepada Leadership Continuum, direka untuk melahirkan pemimpin baharu yang mampu menggalas tanggungjawab lebih luas dalam persekitaran digital yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

“ALPs berpaksikan kepada pembangunan bakat masa hadapan, pembinaan keupayaan kritikal bagi menerajui transformasi organisasi serta pemupukan budaya berprestasi tinggi dalam MCMC,” katanya lagi.

MCMC berkata, pelaksanaan program itu dijalankan melalui kerjasama akademik bertaraf MBA bersama Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, selain pensijilan profesional kecerdasan buatan daripada United States Artificial Intelligence Institute (USAII®).

“Pendekatan pembelajaran bersepadu yang menggabungkan ketegasan akademik, pendedahan praktikal dan inovasi ini bertujuan memperkukuh kompetensi digital serta kepimpinan peserta selaras dengan mandat kawal selia MCMC,” menurut kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat