KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan supaya semua pengamal media melaporkan kes salah laku seksual melibatkan pelajar sekolah di Melaka secara beretika dan bertanggungjawab, tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
Dalam kenyataannya hari ini, MCMC mengingatkan bahawa media tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
“MCMC memandang serius laporan sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai bahawa menyebarkan atau mengedarkan video atau bahan berkaitan melalui perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
MCMC kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi menurunkan kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa daripada platform media sosial.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S. R. Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kejadian berlaku kira-kira 2.50 petang pada 2 Oktober lalu di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua suspek.
Kejadian tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video berkenaan sebelum membuat laporan polis.
MCMC menegaskan bahawa semua pihak, termasuk pengguna media sosial, perlu menghormati privasi mangsa dan tidak menularkan sebarang bahan yang boleh menjejaskan maruah atau kesejahteraan mereka, sambil mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.
Baca juga: