CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di Multimedia University (MMU), sekali gus menyaksikan pelancaran AI Transformation Centre (AIX) hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan MMU dengan nilai pelaburan RM37 juta.
Menurut Perdana Menteri, AIX akan menjadi hab nasional kecerdasan buatan (AI) yang menyatukan kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan bagi memperkukuh penyelidikan, inovasi serta kesiapsiagaan tenaga kerja Malaysia dalam era digital.
“AIX bukan sekadar kemudahan canggih, tetapi pelantar untuk idea, bakat dan inovasi yang mampu memacu Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penubuhan FAIE mencerminkan pandangan jauh MMU dalam melahirkan pakar berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan industri, khususnya dalam bidang Applied Artificial Intelligence (AI Gunaan).
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Telekom Malaysia (TM) dan MMU atas komitmen strategik mereka dalam memperkukuh agenda digital negara, sejajar dengan dasar MADANI yang menekankan pembangunan inklusif dan beretika.
Penubuhan fakulti baharu dan pelancaran AIX ini dilihat sebagai mercu tanda penting dalam perjalanan Malaysia ke arah kecemerlangan digital, sekali gus menjadi pemangkin inovasi untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Baca juga: