PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan kerangka baharu Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar, selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Dalam kenyataan media pada Khamis, MCMC berkata, pengeluaran Standard Mandatori itu merupakan langkah pengawalseliaan penting bagi menutup ruang penyalahgunaan pendaftaran prabayar yang sering dieksploitasi untuk aktiviti penipuan dalam talian serta penyamaran identiti.
“Peruntukan yang telah diperkukuh ini diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan pengguna dengan mencegah penyalahgunaan identiti, penipuan serta penggunaan kad SIM tanpa kebenaran serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal mudah diakses serta selamat untuk semua pengguna,” katanya.
MCMC turut menekankan bahawa pelaksanaan standard baharu ini mengambil kira keseimbangan antara keperluan keselamatan, kemudahan akses pengguna dan perlindungan data peribadi.
Difahamkan, kerangka masa hadapan turut diperkenalkan, merangkumi penggunaan pengesahan biometrik serta MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, selain mewajibkan penggunaan platform automatik selamat untuk mengurangkan pendaftaran palsu.
Bagi bukan warganegara pula, kawalan lebih ketat akan dilaksanakan termasuk pengesahan pasport berasaskan biometrik.
Antara langkah perlindungan utama yang digariskan ialah had pemilikan kad SIM.
Bagi warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan pemastautin sementara, had pemilikan ditetapkan kepada lima kad SIM bagi setiap individu untuk setiap penyedia perkhidmatan.
Manakala bagi bukan warganegara, had pemilikan disemak semula kepada dua kad SIM bagi setiap individu untuk setiap penyedia perkhidmatan.
Selain itu, pendaftaran kad SIM bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun adalah dilarang.
“Pendaftaran hendaklah dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga dengan maklumat serta persetujuan mereka direkodkan,” katanya.
MCMC turut menetapkan bahawa pengguna akhir perlu memaklumkan mengenai status pendaftaran dalam tempoh 12 jam.
Penyedia perkhidmatan serta pengedar yang dilantik diingatkan supaya memastikan Standard Mandatori ini dilaksanakan sepenuhnya dan tepat pada masanya.
Katanya lagi, sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan pengawalseliaan demi mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih selamat dan terjamin.
Pada masa sama, pengguna dinasihatkan agar mendaftar kad SIM prabayar hanya melalui penyedia perkhidmatan berlesen serta pengedar yang dibenarkan, selain sentiasa berwaspada terhadap saluran pendaftaran yang tidak sah.








