TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan projek rintis penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau, Sabah pada Ahad.
Menurut kenyataan MCMC, inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara agensi itu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bersama beberapa rakan strategik seperti MRANTI dan penyedia teknologi tempatan.
“Projek ini bakal menjadi kaedah baharu bagi mempercepatkan penghantaran ubat dari klinik kesihatan ke NADI terpilih di kawasan sukar dihubungi seperti pulau, pedalaman serta lokasi yang tiada akses jalan raya yang baik.
“Fasa pertama projek ini dijangka bermula suku keempat 2025 melibatkan dua NADI termasuk di Tawau. Ia kemudian akan diperluas kepada 150 NADI menjelang 2026 dan disasarkan mencapai 392 NADI menjelang 2027.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1,099 NADI akan diwujudkan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu ketika mempromosikan Perkhidmatan Pintar NADI dan projek stratgeik berimpak tinggi kepada komuniti pada PMR Tawau.
Kata MCMC, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengunjungi reruai NADI selepas menyempurnakan PMR Tawau.
Tambahnya, inisiatif ini turut menyokong agenda kerajaan dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan secara adil dan saksama menerusi teknologi moden, termasuk penggunaan 5G dan kecerdasan buatan (AI).
Reruai NADI di PMR Tawau turut mempamerkan pelbagai aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI berdasarkan lima teras utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan.