KUANTAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kesiapsiagaan sektor komunikasi, pos dan kurier bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Langkah itu dilaksanakan melalui pelancaran Pasukan Emergency and Disaster Response Team (EDRT) yang ditauliahkan sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pelancaran ini menandakan komitmen MCMC dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi monsun dengan memastikan rangkaian komunikasi kekal stabil dan berfungsi,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Majlis pelancaran itu turut disertai agensi utama seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MetMalaysia, APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut MCMC, kerjasama pelbagai agensi itu penting bagi menyelaras pelan tindakan bencana secara bersepadu dan memastikan koordinasi lebih pantas semasa kecemasan.
Data MCMC menunjukkan sebanyak 597 stesen pemancar terjejas sepanjang MTL 2024/2025, dengan 54 peratus daripadanya di wilayah timur.
Selain itu, sebanyak 147 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah.
“Rangka kerja pengurusan bencana MCMC meliputi tiga fasa utama iaitu kesiapsiagaan sebelum bencana, respon semasa bencana dan pemulihan selepas bencana,”
“Pendekatan ini membantu memastikan liputan komunikasi tidak terputus dan proses pemulihan dapat dijalankan dengan lebih cepat,”
“Kami mahu pastikan setiap kawasan, termasuk yang berisiko tinggi, mempunyai akses komunikasi walaupun dalam keadaan kritikal,” katanya lagi.
MCMC menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan industri bagi memastikan rangkaian komunikasi kritikal lebih berdaya tahan sepanjang tempoh monsun.
Baca juga:








