PETALING JAYA: Agenda pendigitalan negara terus diperkukuh apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan peluasan inisiatif ‘Cashless Society’ ke tiga negeri baharu iaitu Melaka, Wilayah Persekutuan (WP) dan Johor.
Menurut kenyataan media MCMC pada Jumaat, peluasan itu digerakkan melalui Sesi Meja Bulat di Cyberjaya yang menghimpunkan wakil agensi Persekutuan dan negeri, pemain industri serta wakil komuniti.
Dengan tema ‘Kepercayaan Digital dan Pemerkasaan Komuniti’, sesi tersebut menjadi platform strategik membincangkan aspek keselamatan siber, literasi digital, perlindungan pengguna serta pengukuhan keyakinan masyarakat terhadap transaksi tanpa tunai.
“Sesi Meja Bulat ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan keutamaan dalam ekosistem digital, termasuk keselamatan siber, literasi digital dan perlindungan pengguna, sekali gus mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap transaksi tanpa tunai,” kata MCMC.
MCMC berkata, inisiatif yang disertai kira-kira 70 wakil organisasi itu dijangka meningkatkan tahap literasi serta kepercayaan digital masyarakat khususnya di kawasan luar bandar dan terpencil.
“Pendekatan ini turut bertujuan meningkatkan literasi dan kepercayaan digital, selain membolehkan komuniti mengendalikan persekitaran digital dengan lebih yakin dan selamat,” tambah MCMC.
Selain itu, sesi tersebut turut menyelaraskan objektif pelaksanaan Fasa 4 Inisiatif ‘Cashless Society’ tahun 2026 bersama Pengurus Pusat Ekonomi Digital (NADI) dan pihak berkepentingan.
Untuk info, inisiatif ini mula dilancarkan pada 2023 di 28 NADI dan sehingga 2025 telah diperluaskan ke 174 lokasi seluruh negara.
Sepanjang tempoh 2023–2025, ia berjaya menarik 62,574 pengunjung, merekodkan 26,022 transaksi tanpa tunai, melahirkan 4,572 pedagang digital baharu serta melaksanakan 1,348 aktiviti kesedaran berasaskan empat tonggak utama ‘Cashless Society’.
MCMC turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, TNG Digital, Setel dan TM Unifi serta para Pengurus NADI atas komitmen berterusan menjayakan agenda masyarakat tanpa tunai negara.








