PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memulihkan sepenuhnya perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang yang terjejas akibat cuaca buruk sejak Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan media pada Isnin, MCMC berkata, pihaknya menerima aduan berhubung gangguan perkhidmatan selular 2G dan 4G daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain serta penduduk setempat yang terkesan, melibatkan hampir 100 orang.
“Semakan MCMC mendapati, perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi beroperasi seperti biasa.
“Secara keseluruhan, terdapat sembilan stesen pemancar di Pulau Tioman dan semua pemancar ini beroperasi dengan baik kecuali di Kampung Salang,” katanya.
Gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan teruk pada stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia CelcomDigi dan menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN).
Akibatnya, perkhidmatan selular CelcomDigi, Maxis dan U Mobile terputus sejak 17 Disember 2025.
MCMC berkata, faktor keselamatan serta perkhidmatan feri yang terhad sepanjang musim Monsun Timur Laut telah menyukarkan kerja-kerja pembaikan dilakukan lebih awal.
Namun, pasukan teknikal CelcomDigi berjaya tiba di Pulau Tioman pada 31 Disember 2025 untuk melaksanakan penggantian peralatan yang rosak.
“Perkhidmatan selular di Kampung Salang telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 1 Januari 2026,” kata kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu penyedia perkhidmatan dari aspek pengangkutan dan sokongan logistik khususnya ketika musim Monsun Timur Laut.








