Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan telah dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024).
Anugerah berkenaan dimenangi bagi lima Action Lines Kategori 5 iaitu Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan ICT.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, kejayaan inisiatif MCMC meraih Anugerah WSIS membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang telah dibangunkan.
“Ia dalam memperkasakan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat Orang Asli melalui penyediaan akses ICT serta keselamatan dan literasi digital.
“Program ini yang telah bermula sejak tahun 2023 memberi fokus kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan ibu bapa dalam kalangan masyarakat Orang Asli terhadap amalan terbaik melayari Internet,” katanya.
Jelas MCMC, ia adalah satu pertandingan antarabangsa yang dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan IT sebagai pemangkin kepada pembangunan.
“WSIS Prizes juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan suri teladan yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS,” ujarnya.
Difahamkan, Anugerah WSIS akan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 yang bakal dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland pada 30 Mei 2024 depan.
Baca juga: