MCMC sekat akses Grindr dan Blued, kaji tindakan undang-undang

PARLIMEN | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat akses ke atas beberapa laman sesawang termasuk aplikasi temu janji seperti Grindr dan Blued, kata Datuk Fahmi Fadzil pada Rabu.

Menurut beliau, setakat ini MCMC tidak menerima sebarang permohonan untuk menurunkan aplikasi berkenaan daripada gedung aplikasi.

“Bagaimanapun, MCMC sedang meneliti beberapa langkah perundangan bagi mengekang penggunaan aplikasi-aplikasi ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin mengetahui sama ada MCMC telah mengambil tindakan, dengan kerjasama penyedia gedung aplikasi seperti Google Play dan App Store, untuk menghalang muat turun aplikasi temu janji yang memfokuskan hubungan sejenis termasuk Grindr, Blued dan Growlr.

Fahmi menjelaskan bahawa kawalan terhadap aplikasi di platform seperti Google Play dan App Store tertakluk kepada dasar serta peraturan yang ditetapkan oleh penyedia platform berkenaan, yang merupakan syarikat asing berpangkalan di luar Malaysia.

“Namun, kementerian melalui MCMC komited melaksanakan pemantauan secara proaktif bagi memastikan persekitaran dalam talian negara bebas daripada kandungan yang melanggar undang-undang, termasuk kandungan memudaratkan.

“MCMC akan mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan atau fungsi aplikasi yang melanggar undang-undang tempatan, termasuk pengedaran kandungan lucah atau tidak bermoral, eksploitasi atau penderaan, penipuan, penderaan kanak-kanak serta ancaman kepada keselamatan awam,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya mana-mana aplikasi termasuk aplikasi temu janji didapati digunakan untuk menyebarkan kandungan terlarang atau menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang, MCMC akan mengambil tindakan sewajarnya.

Antara tindakan yang boleh diambil termasuk mengemukakan permohonan kepada platform atau gedung aplikasi berkaitan untuk menurunkan kandungan, memohon sekatan akses terhadap kandungan atau perkhidmatan berkenaan, serta menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa seperti polis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat