MCMC Siasat China Press Didakwa Salah Terjemah Titah Agong

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka siasatan terhadap kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi terjemahan palsu berkaitan Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin.

Menurut MCMC, pihaknya menerima aduan rasmi daripada orang awam berhubung perkara itu dan telah memulakan kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi sehingga berpotensi menimbulkan kekeliruan awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Pihak China Press telah dipanggil ke ibu pejabat MCMC untuk rakaman keterangan petang ini sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

“Tindakan itu adalah bagi memastikan semua aduan ditangani secara telus dan mengikut prosedur undang-undang,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Selasa.

MCMC turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kandungan dalam talian secara rasmi melalui portal aduan MCMC, agar tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan fakta dan proses sah.

Dalam masa sama, MCMC menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi, komen melampau atau kenyataan berunsur fitnah di media sosial bagi memberi ruang kepada siasatan berjalan dengan baik.

“Adalah penting untuk semua pihak memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat,” jelas kenyataan itu lagi.

Proses siasatan masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui saluran rasmi MCMC.

Anda Mungkin Berminat