PETALING JAYA: Seorang individu dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas disyaki memuat naik kandungan berunsur perkauman di media sosial.
Kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mengandungi naratif yang mampu mencetus provokasi serta menggugat keharmonian negara.
MCMC dalam kenyataannya mengingatkan masyarakat agar mengelak daripada menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) demi mengekalkan perpaduan dan keamanan negara.
“Ruang siber mesti kekal selamat, sejahtera dan dihormati,” tegas MCMC, sambil memperkukuh komitmennya untuk membanteras penyalahgunaan media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.
Tambah MCMC, sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), MCMC turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.