MCMC siasat kandungan 3R oleh dua pempengaruh politik

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dua individu yang didakwa memuat naik kandungan berunsur 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) secara palsu dan jelik di platform media sosial seperti Facebook dan TikTok.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa sesi rakaman percakapan terhadap kedua-dua individu tersebut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.

“Siasatan ini melibatkan seorang pempengaruh yang juga aktivis politik, yang dipercayai menyentuh isu sensitif seperti lagu kebesaran negeri Perak, penguasaan ekonomi Melayu melalui pemecahan monopoli syarikat minyak dan gas, serta pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, MCMC berkata, satu unit telefon bimbit dan kad SIM milik salah seorang suspek telah disita untuk analisis forensik.

Tambahnya, telefon bimbit milik suspek kedua pula disita oleh pihak polis untuk siasatan kes berasingan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Anda Mungkin Berminat