PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu yang didakwa memuat naik kandungan palsu mengenai negeri Pahang di Facebook.
Menurut MCMC, sesi siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, semalam.
“Lelaki berkenaan memuat naik kandungan palsu berkenaan dipercayai dijana melalui bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan yang mencetuskan spekulasi negatif tentang pekebun haram di Raub, Pahang.
“MCMC telah menyita sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Tegas MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.