PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan media sosial berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi unsur fitnah dan bersifat 3R iaitu Kaum, Agama dan Raja.
Dalam kenyataan media hari ini, MCMC berkata, kandungan tular tersebut berpotensi mencetuskan kekeliruan awam serta menjejaskan kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut MCMC, individu yang terlibat telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos 2025.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan spekulatif yang belum disahkan, demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan memastikan proses keadilan berjalan lancar.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan,” ujarnya.
Suruhanjaya itu menyeru agar masyarakat memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan dan mengelak daripada menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan atau bersifat provokatif.