MCMC siasat kes pijak Quran, individu berdepan denda RM500,000 atau penjara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan penularan kandungan memaparkan perbuatan memijak al-Quran di media sosial.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MCMC memaklumkan siasatan itu dijalankan selepas polis membuka kertas siasatan terhadap individu yang memuat naik gambar berkenaan.

Menurutnya, kandungan tersebut dimuat naik di platform Threads menggunakan akaun ‘ryandaselva’ dan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.

MCMC turut memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.

Terdahulu, isu berkenaan mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam selepas gambar tersebut tular di media sosial. Individu terbabit yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya memohon maaf atas tindakannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat