Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berkait satu hantaran di media sosial yang mengandungi maklumat palsu berunsur perkauman.
Menerusi kenyataan media hari ini, MCMC menjelaskan, hantaran tersebut mendakwa bahawa individu wanita yang naik ke atas pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini merupakan seorang wanita berbangsa Cina.
Bagaimanapun katanya, dakwaan itu disahkan tidak benar oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa (2 September 2025),” katanya.

Katanya lagi, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut menegaskan, bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman adalah satu kesalahan serius yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” ujarnya.
Baca juga:








