MCMC siasat penjawat awam, sentuh isu 3R di TikTok

Seorang penjawat awam disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas dipercayai mengeluarkan hantaran jelik melibatkan elemen 3R iaitu agama, kaum dan raja di akaun TikTok miliknya.

MCMC menerusi satu kenyataan pada Isnin memaklumkan lelaki berusia 29 tahun itu telah disoal siasat oleh pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada Khamis lalu.

“MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek. Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, MCMC memaklumkan pihaknya telah menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada lelaki berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Aka Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Oleh itu, MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang khususnya kandungan melibatkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

Justeru, penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat