MCMC: Sin Chew, Sinar Harian dikompaun RM100,000

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd selepas menerima izin mengkompaun daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam kenyataan pada Jumaat, MCMC memaklumkan tindakan terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad diambil susulan siasatan mendapati organisasi itu memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

“Sementara itu, Sinar Karangkraf Sdn Bhd dikenakan kompaun selepas akaun Instagram rasmi organisasi berkenaan menyiarkan profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, termasuk dakwaan berkaitan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

“MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang menyentuh institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

“Kandungan yang tidak benar berpotensi menimbulkan kekeliruan dan menggugat keharmonian. Justeru, semua organisasi media dan pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab memastikan maklumat yang diterbitkan sahih,” kata kenyataan itu lagi.

Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).

Tindakan kompaun pula dibuat menurut Seksyen 243 akta sama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat