CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi (telco) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh rangkaian komunikasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan yang lancar dan stabil.
Langkah itu merangkumi kemudahan untuk panggilan suara, mesej, penggunaan internet serta komunikasi video khususnya ketika jutaan rakyat pulang ke kampung halaman dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat kekal terhubung khususnya ketika pulang ke kampung dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” menurut kenyataan MCMC pada Khamis.
Sejak awal Mac 2026, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan di seluruh negara.
Antara langkah yang diambil termasuk kerja pengoptimuman rangkaian, pengaktifan 5G serta penggunaan penyelesaian sementara seperti stesen pemancar mudah alih.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada kawasan bertrafik tinggi seperti lebuh raya, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), destinasi pelancongan serta lokasi tumpuan orang ramai.
“Semua telco turut diarahkan memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan,” menurut kenyataan itu lagi.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bertindak sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri serta pemantauan lapangan di lokasi kritikal.
Orang ramai yang mengalami masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC bagi tindakan lanjut.








