MCMC Turunkan Lebih 130,000 Kandungan Penipuan Setakat 30 September Lalu – Fahmi

PARLIMEN | Sebanyak 139,880 permohonan dibuat kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan sejak 1 Januari 2022 hingga 30 September lalu, dengan 95 peratus atau 133,348 daripadanya berjaya diturunkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian ketika menjawab soalan Azahari Hasan (PN–Padang Rengas) di Dewan Rakyat pada Selasa mengenai langkah drastik kerajaan bagi menangani isu scammer serta buli dalam talian yang semakin berleluasa.

“Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan,” katanya.

Menurut beliau, bagi kandungan berunsur buli, sebanyak 50,160 permohonan telah dibuat dengan 77 peratus atau 38,470 daripadanya berjaya diturunkan.

Fahmi berkata, MCMC turut mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan mereka bertanggungjawab terhadap operasi serta kandungan di platform masing-masing.

“Langkah ini penting supaya setiap penyedia perkhidmatan bertanggungjawab menguruskan operasi mereka dengan baik termasuk menangani kandungan penipuan dan buli,” katanya lagi.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) turut digubal bagi meningkatkan keselamatan siber dan mengekang kandungan memudaratkan termasuk penipuan serta buli dalam talian.

Setakat 30 September lalu, Kempen Internet Selamat turut dilaksanakan di 3,825 institusi pendidikan dan 337 program komuniti, melibatkan lebih 440,000 peserta di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat