ANIMASI tempatan, Mechamato mencipta sejarah apabila berjaya menduduki tempat pertama dalam dua kategori utama di platform penstriman video popular China, Youku, hanya selepas 72 jam ditayangkan.
Berita gembira ini disampaikan menerusi laman Facebook rasmi animasi berkenaan pagi tadi.
“Mechamato menembusi Carta Teratas China. Dalam masa 72 jam sahaja, siri animasi Malaysia telah mendapat tempat nombor satu dalam kategori Kegemaran Budak Lelaki dan Mecha di Youku,” maklum Monsta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, Mechamato turut mencatat tempat kedua dalam kategori Hot-Blood Adventure dan ketiga bagi Overall Newly Launched Shows.
“Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan sambutan luar biasa di China, tetapi juga membuka potensi besar untuk pelesenan dan kerjasama perdagangan di rantau Asia,” katanya memetik laporan media tempatan.
Tayangan 26 episod penuh Mechamato di Youku merupakan hasil kerjasama strategik antara MONSTA dan platform penstriman tersebut.
Mechamato juga pernah mengharumkan nama negara apabila meraih tempat pertama Anugerah Anime Fan Award di Tokyo Anime Award Festival 2023.
Baca juga: