PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan pembangkang tidak dilibatkan dalam pembentukan Majlis Media serta pembentukan kerangka kawal selia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebaliknya telah mengadakan libat urus bersama mereka sebanyak tiga kali.
“Saya juga difahamkan SKMM akan buka sesi libat urus setelah beberapa perkara diputuskan secara dalaman, prosesnya, garis masanya dan ini akan diumumkan oleh SKMM dalam pertengahan minggu depan, jadi kita alu-alukan dan terima pandangan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Anak Muda K2K, sempena hari kemerdekaan di Puchong hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kesemua penyedia platform perkhidmatan sosial media secara dasarnya bersedia dilesenkan kerana sedar Malaysia satu daripada pasaran penting.
Ujarnya, kesediaan itu disuarakan dalam pertemuan bersama semua penyedia platform media sosial di Singapura, baru-baru ini.
“Mereka sedia dan faham Malaysia ini pasaran penting, rakyat Malaysia secara purata guna 30 hingga 50 gigabit (GB) data berbanding negara lain.
“Ini kerana usaha kita kurangkan harga internet berjaya, tetapi bagi saya bukan sahaja nak internet lebih laju dan meluas tetapi selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun Fahmi berkata, ketika ini masih belum ada platform media sosial membuat permohonan untuk dilesenkan kerana kerangkanya baru diperkenalkan pada Khamis lalu.