Media tonggak penyampaian maklumat sahih, kukuh kefahaman rakyat – PM Anwar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Media merupakan medium utama yang berperanan sebagai agen penyampai maklumat sahih serta memperkukuh kefahaman rakyat berhubung dasar serta hala tuju negara.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, zaman ini dipenuhi dengan cabaran maklumat dan persepsi yang menjadi tanggungjawab pengamal media agar masyarakat mendapat maklumat tepat dan berimbang.

“Peranan mereka (media) amat penting dalam menyampaikan maklumat sahih, membina wacana yang sihat serta memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan hala tuju negara, khususnya dalam era yang sarat dengan cabaran maklumat dan persepsi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani bersama warga media serta pempengaruh di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Jumaat.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut menyaksikan penyampaian sumbangan TabungKasih@HAWANA kepada 10 veteran media yang sedang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup sebagai tanda keprihatinan kerajaan.

Sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban penerima serta membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri, sekali gus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media terdahulu kepada negara.

Anwar turut berharap Ramadan yang mulia ini akan terus menyuburkan nilai ihsan, kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam usaha membangun Malaysia Madani yang lebih adil, berperikemanusiaan dan sejahtera.

Anda Mungkin Berminat