KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM5 juta.
Mohamed Fauzi, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan memohon agar kes dibicarakan.
“Saya faham pertuduhan tersebut dan mengaku tidak bersalah,” katanya dari kandang tertuduh, seperti dipetik berita tempatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertindak sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan meluluskan pelaburan tambahan berjumlah RM5 juta ke dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 27 November 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin serta syarat penyerahan pasport kepada mahkamah, berikutan tertuduh masih memegang jawatan dan kerap menghadiri tugasan ke luar negara.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM70,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan bersedia mematuhi syarat penyerahan pasport.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Mohamed Fauzi tiba di Mahkamah Sesyen dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berpakaian sut biru gelap, beliau dilihat sempat menyapa pengamal media sebelum memberi tabik hormat ringkas ketika melangkah masuk ke bilik mahkamah.
Baca juga:








