PARLIMEN | Mekanisme pengesahan umur bagi pengguna media sosial akan dimuktamadkan melalui perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 pada suku kedua tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata langkah itu adalah sebahagian usaha berterusan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan berbahaya dalam talian, sejajar penguatkuasaan akta berkenaan sejak 1 Januari lalu.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan identiti dengan mengambil kira aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi, privasi serta keserasian dengan kerangka perundangan sedia ada.
“MCMC turut melaksanakan proses ‘regulatory sandbox’ bersama penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, pada Rabu.
Beliau berkata, ujian yang dijalankan merangkumi mekanisme pengesahan umur dan entiti serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kandungan berisiko tinggi.
Katanya, selepas penilaian dan proses ‘regulatory sandbox’ selesai, tanggungjawab memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak mengendalikan akaun media sosial akan dipikul sepenuhnya oleh penyedia platform menerusi perundangan subsidiari di bawah Akta 866.
“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan algoritma media sosial bersesuaian dengan peringkat umur selain mengekang pendedahan kepada kandungan negatif seperti buli siber dan gangguan seksual.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng, beliau berkata antara 1 Januari 2022 hingga 15 Februari lalu, sebanyak 1,578 permohonan dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan bagi menurunkan kandungan amat jelik membabitkan kanak-kanak, dengan 96 peratus daripadanya berjaya dipadamkan.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC melancarkan rundingan awam bermula 12 Februari bagi membangunkan Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak yang dijangka dimuktamadkan selepas 13 Mac ini.
“Kita berhasrat menjadikan pematuhan terhadap kod ini sebagai mandatori kepada penyedia platform supaya algoritma mereka lebih selamat serta mewujudkan mekanisme aduan yang lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Baca juga:







