Melaka Perkenal Sistem ‘Butang Panik’ Di Lokasi Pelancongan Utama

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah telah melancarkan sistem ‘Butang Panik’ di empat lokasi pelancongan utama bagi memperkukuh keselamatan awam dan mempercepatkan tindak balas kecemasan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sistem itu yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi membolehkan bantuan perubatan dan keselamatan disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau menekankan kepentingannya terutama pada waktu puncak dan ketika Zon Bebas Kenderaan beroperasi.

Empat lokasi berkenaan ialah kawasan hadapan Menara Taming Sari, Taman Warisan Jonker Walk, kawasan hadapan Bastion House di Banda Hilir serta perkarangan Stadthuys.

Sistem itu diintegrasikan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Paramedik Komuniti.

“Integrasi ini memastikan bantuan dapat disampaikan secepat mungkin,” katanya ketika merasmikan program Melaka Bila Larut Malam di perkarangan Stadthuys.

Program tersebut menjadi pemacu utama ekonomi tempatan, memberi manfaat kepada peniaga kecil, penggiat seni dan pemain industri pelancongan.

Edisi kali ini menampilkan tema Tahun Baharu Cina sebagai simbol perpaduan menjelang sambutan 17 Februari.

Pada majlis sama, Ab Rauf turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah Melaka River Cruise 2025, sebuah Proton Saga kepada seorang pelajar dari Perak.

Beliau juga mengumumkan bahawa program itu akan diteruskan tahun ini dengan tawaran hadiah bernilai RM100,000.

Hadiah utama berupa sebuah Perodua Bezza akan diberikan pada Disember dengan cabutan bertuah diadakan setiap tiga bulan.

Ab Rauf berkata, matlamat kerajaan negeri adalah menjadikan Melaka Bila Larut Malam sebagai acara pelancongan bulanan yang inklusif dan beridentiti, sekali gus merancakkan sektor tersebut di bawah Visit ‘Melaka Year 2.0’.

Tambah beliau, menjelang Ramadan, Melaka akan melaksanakan lebih banyak program berteraskan keagamaan dan komuniti.

Antaranya lebih 90 inisiatif oleh Jabatan Agama Islam Melaka bagi memeriahkan bulan suci itu.

Anda Mungkin Berminat