Melly Goeslaw Hidupkan Nostalgia Prom Night, Gegarkan Axiata Arena

Oleh: Aliya Azmi

AXIATA Arena, Bukit Jalil gamat dengan sorakan lebih 9,000 penonton malam tadi apabila penyanyi dan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw, menghiburkan peminat dalam konsert Ada Apa Dengan Melly.

Mengangkat tema Prom Night, konsert berdurasi dua jam setengah itu menyaksikan Melly, 51, tampil dengan busana eksentrik bersama barisan penari, penyanyi latar dan pemuzik yang turut berpenampilan ceria dan berwarna-warni, menjadikan suasana seakan-akan malam perpisahan sekolah yang penuh kenangan.

Peminat tidak duduk diam apabila Melly menyampaikan 26 lagu termasuk beberapa medley. Antara lagu yang mencuri perhatian ialah Ingin Mencintai dan Dicintai, Berdua Lebih Baik, Hey Ladies, dan Ku Bahagia.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat Malaysia, Melly turut menyanyikan lagu-lagu ikonik tempatan seperti Janji Manismu (Datuk Aishah), Isabella (Search) dan Betapa Ku Cinta Padamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Momen istimewa tercetus apabila Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search turut sama menyanyikan lagu mereka masing-masing dari tempat duduk, mencuri perhatian peminat dan menambah kehangatan suasana.

Melly turut berkongsi pentas dengan beberapa artis jemputan seperti Aina Abdul, Nicholas Saputra dan Dinda Ghania, manakala Radin (Era) bertindak sebagai pengacara.

Turut kelihatan dalam kalangan penonton ialah Datuk M. Nasir, Elite dan selebriti terkenal Indonesia, Raffi Ahmad.

Dilahirkan di Bandung, Melly memulakan kerjaya sebagai penyanyi latar kepada Elfa Secioria sebelum menubuhkan kumpulan Potret bersama suaminya, Anto Hoed, pada 1995. Album solo pertamanya, Melly, diterbitkan pada 1999.

Namanya melonjak selepas menggubah runut bunyi filem Ada Apa Dengan Cinta? pada 2002, yang turut memenangi Anugerah Citra di Festival Filem Indonesia 2004.

Dengan lebih 500 lagu, puluhan runut bunyi filem dan pengalaman sebagai juri program realiti, Melly kekal sebagai antara ikon muzik berpengaruh di rantau ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat