Oleh: Shafira Aziz
KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengakui terdapat beberapa kes liwat yang melibatkan individu dalam organisasinya.
Namun, beliau menyifatkan kejadian tersebut hanyalah satu atau dua kes sahaja dan tidak sepatutnya mencemarkan keseluruhan organisasi.
Dalam video berdurasi 17 minit 21 saat hari ini, Nasiruddin berkata, kenyataannya bertujuan meredakan keadaan yang sedang tegang.
“Saya bukan mahu menyalahkan undang-undang. Memang ada kesalahan yang dilakukan, tetapi untuk isu seperti ini, kenapa tidak dibincangkan terlebih dahulu? Ini terus ditangkap lebih 400 kanak-kanak yang tidak tahu-menahu mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Nasiruddin, walaupun beliau mengakui kes liwat berlaku, tindakan menyamaratakan seluruh organisasi tidak wajar.
“Memang ada kes liwat satu atau dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua? Ini juga dikatakan memperdagangkan manusia dan eksploitasi kanak-kanak, sedangkan tiada perundingan langsung,” tambahnya.
Beliau juga meluahkan rasa pelik kerana tiada sebarang perbincangan diadakan bersama pihak berkuasa sebelum tindakan diambil.
Nasiruddin turut mendakwa GISB ditohmah hingga mencetuskan keadaan huru-hara yang disifatkannya lebih buruk daripada apa yang berlaku di Gaza.
Beliau juga menafikan dakwaan GISB menanamkan ajaran sesat kepada kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan organisasi tersebut.
“Kami sudah beroperasi selama 30 tahun di seluruh dunia, tiada masalah. Kami ajar mereka solat dan hidup berjemaah,” tegasnya.

GISB juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menabur tohmahan ke atas organisasi mereka.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa risikan mendapati kesemua kanak-kanak di rumah amal GISB menjalani kehidupan yang dikawal penuh.
Pihak polis juga menyiasat 13 kes liwat yang disyaki berlaku terhadap kanak-kanak di rumah perlindungan yang diserbu.
Dalam operasi ‘Op Global’ yang dijalankan pada Khamis, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.