Oleh: Aliyaa Azmi
FILEM animasi tempatan Papazola The Movie mencatat kutipan sebanyak RM10 juta hanya pada hari keempat tayangan, membuktikan penerimaan hangat daripada penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Studio, Nizam Abd Razak berkata, pihaknya tidak menyangka ‘Papa Zola The Movie’ mampu memberi kesan mendalam kepada penonton pelbagai lapisan usia.
“Terima kasih kepada semua yang telah menonton. Sebagai filem animasi pertama Papazola, ini adalah pencapaian yang amat membanggakan,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Instagram pada Isnin.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papazola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan besar buat seluruh pasukan produksi.
“Melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton filem ini amat bermakna bagi kami. Menjelang cuti sekolah ini, kami berharap lebih ramai seisi keluarga akan datang menonton filem ini di pawagam,” katanya.
Ditayangkan pada 11 Disember 2025, Papazola The Movie membawa watak ikonik dari siri popular BoBoiBoy ke pentas utama. Filem ini sesuai untuk tontonan semua peringkat umur serta sarat dengan nilai murni.
Filem ini mengisahkan Papa Zola, seorang bapa dan guru sekolah, yang kehidupannya berubah apabila bertemu semula dengan rakan-rakan lama dari agensi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Plot memuncak apabila anak perempuannya, Pipi Zola, diculik makhluk asing jahat, memaksa Papa Zola dan isterinya Mama Zila bekerjasama untuk menyelamatkan Pipi serta menyekat ancaman alien yang ingin menukar dunia manusia menjadi dunia simulasi permainan.
Papazola The Movie turut menampilkan watak-watak popular lain dari alam semesta Monsta Studios seperti BoBoiBoy dan Mechamato, menyerupai perhimpunan ‘Avengers’ bagi dunia superhero Malaysia.
Baca juga:








